Mak buyung terlebih rajin minggu ni, siap ambil gambar step-by-step. Walaupun gambar tak se'clear' gambar-gambar menggunakan DLSR (untuk step-by-step biasa guna digicam biasa je, takut nanti kamera DSLR berkulat kalau asik berhenti-henti nak tangkap gambar), tapi rasanya boleh kot faham basicnya nanti.
Bab mendeco ni takdela expert mana, cuma sekadar minat je. Pengetahuan yang ada pun hanya berdasarkan pengalaman bertahun (2 tahun je, haha..takdela lama beno pun) dan tiada sijil untuk menyatakan saya ni berkelayakan untuk mengajar orang. Hehehe.. Tapi setakat kongsi-kongsi apa salahnya ek?
Alat-alat yang saya guna pun kebanyakannya plastik, takde stainless steel (kecuali offset spatula je). Nak dapatkan hasil deco yang cantik memakan masa dan praktis. Apa-apa skil pun perlukan praktis. Bakat dan kreativiti pula bergantung kepada individu (saya tak kreatif sangat pun :P) Kalau nak lebih mudah (tapi tidaklah murah, hehe) bolehlah hadiri kelas, cikgu-cikgu akan beri tips yang lebih hebat dalam selok-belok bab mendeco kek ni.
Apapun, let's skodeng gambar menghias kek Black Forest di bawah~
Cara Menghias Kek Fresh Cream [Kek Black Forest]
Kek Black Forest (sila jangan ambil gambar ini dan tukar dengan watermark anda ye? Haha..macamlah lawa sangat ek :p)
Alat dan bahan:
Comb/scraper samada plastik atau stainless steel- permukaan rata (plain icing scraper/comb)
Comb/scraper samada plastik atau stainless steel- permukaan bergerigi (serated atau triangular icing comb/scraper)
Rotating cake stand
Spatula panjang
Gabungan gambar dari En. Google
Parutan coklat (chocolate curls) - boleh juga guna chocolate rice
100g - 200g Blueberry filling@cherry pie filling@dark pitted cherries
300g - 500g @ 1C - 2C fresh cream, telah dipukul kental - sila rujuk Cara Guna, Simpan, dan Warna Fresh Cream (Non-Dairy Whipping Cream)
1. Potong kek sponge kepada 3 lapisan (boleh juga 4 jika inginkan kek yang lebih nipis).
2. Letakkan lapisan pertama kek di atas cakeboard (yang telah diletakkan atas rotating cake stand). Sapu lapisan fresh cream rata-rata di atasnya. Pastikan masa sapu tu spatula tidak terkena pada kek (sebab takut serdak-serdak kek akan bercampur dengan fresh cream dan mencacatkan deco nanti). Biasa saya sudukan banyak-banyak fresh cream atas kek dulu, lepas tu guna hujung spatula untuk ratakannya atas kek.
3. Sudukan blueberry filling (atau cherry pie filling@dark pitted cherries) atas fresh cream. Jangan letak sampai hujung kek sebab nanti takut masa letak lapisan kek ke-2, fillingnya akan terpenyek dan terkeluar dari kek.
4. Tutup dengan lapisan kek ke-2 dan ulang step 2 & 3. Akhir sekali tutup dengan lapisan kek ke-3.
5. Menggunakan hujung spatula, cedok fresh cream (agak banyak jugalah) dan sapu perlahan-lahan pada permukaan dan sisi kek. Sekali lagi pastikan spatula tidak terkena pada kek.
6. Salut fresh cream pada keseluruhan kek. Lagi baik letak cream tebal-tebal, nanti masa nak lepa cantik-cantik, lebihan cream dapat diketepikan dengan lebih mudah.
7. Ambil scraper yang berpermukaan rata, letakkan bahagian rata pada sisi kek pada sudut kurang dari 30°. Gunakan tangan lagi satu untuk perlahan-lahan pusingkan cake stand sambil memastikan scraper tidak bergerak (NB: Pastikan kek betul-betul di tengah cake standdahulu. Kalau dah expert boleh pusing cake stand tu laju-laju, hehe..) Lebihan fresh cream yang terlekat pada scraper mestilah diketepikan.
8. Kemaskan sisi kek. Kalau ada 'lubang-lubang' atau mana-mana permukaan yang tidak terkena fresh cream, boleh ditepek sedikit dengan fresh cream. Lepas tu ulang step 7 lagi sampai dapat salutan yang lebih kemas. (NB: Pastikan setiap kali anda ratakan tu, scraper mesti bersih dari sisa-sisa/lebihan fresh cream. Kalau tak, nanti sisa-sisa tu akan melekat kembali pada kek dan susah nak dapat permukaan yang betul-betul rata/smooth.)
9. Ratakan bahagian atas kek. Kali ni boleh guna spatula atau scraper. Ambil scraper/spatula dan letak pada hujung tepi kek. Menggunakan 'sweeping motion', tarik scraper dari hujung kek ke bahagian tengah kek (part ni susah nak terangkan. Boleh rujuk video Youtube di bawah).
Video youtube: Cara mendapatkan permukaan atas kek icing@fresh cream yang rata:
10. Buangkan lebihan fresh cream di bahagian bawah kek. Anda boleh gunakan tisu untuk sapu lebihan cream ataupun gunakan cara ringkas: ambil scraper/spatula, selitkan tepinya sedikit di bawah kek. Kemudian perlahan-lahan tarik keluar scraper/spatula tersebut sambil memutarcake stand. Secara automatik lebihan fresh cream yang tak kemas pada bawah kek akan terlekat pada scraper/spatula tersebut. Buangkan/ketepikan lebihan fresh cream ini.
11. Parutkan coklat menggunakan pemarut untuk buat chocolate curls. Kalau guna pemarut dengan sudut coklat seperti dalam gambar, dapat curls yang pendek-pendek. Boleh juga guna pemarut kentang atau pisau untuk dapat curls lebih panjang. Untuk memudahkan coklat melekat pada kek dan tidak mudah cair di tangan, boleh simpan parutan coklat dalam peti sejuk untuk 5-10 minit.
Chocolate curls
12. Angkat dan pegang kek menggunakan sebelah tapak tangan, posisikan tepi kek di atas bekas berisi parutan coklat. Ambil sedikit parutan coklat (yang disejukkan tadi) dan tepek pada tepi-tepi kek. Kalau rasa coklatnya mula mencair, boleh simpan sekejap dalam peti sejuk. Dah siap tepekkan coklat, simpan dalam peti sejuk sebentar, kemudian bolehlah dipaipkan rosettes atas kek dan dihiaskan dengan cherry bertangkai dan lebihan coklat parut di tengah-tengah.
NB: Untuk kek ni, saya guna scraper bergerigi untuk dapat garisan/alunan pada sisi kek. Boleh tengok caranya di dalam video di bawah:
Video youtube: Cara mendapatkan corak beralun/bergerigi pada sisi kek menggunakan icing comb/scraper bergerigi:
***Kalau ada kemusykilan atau pertanyaan, bolehlah tanya saya dan saya akan menjawab selagi mampu.
***Gambar-gambar adalah Hak Milik Aku.Zack@zachoes.blogspot.com kecuali jika ia telah dinyatakan dari sumber lain (Google, contohnya).
Black Forest cake
Posted in: deco dan hiasan,step-by-step
No comments:
Post a Comment